Daripada Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman: ' Kesombongan adalah selendang-Ku dan kebesaran adalah sarung-Ku. Maka sesiapa bersaing dengan-Ku pada salah satu daripada kedua-duanya, maka pasti Ku lemparkan ia ke dalam jahanam'." (Riwayat Abu Daud no. 4092 dan Ibnu Majah no. 4147)
Takabbur sering menyerang individu yang mempunyai potensi. Lebih banyak potensi yang dimiliki oleh seseorang maka lebih terdedahlah dia kepada sifat takabbur. Semuanya gara-gara merasakan diri 'lebih' dan orang lain 'kurang'. Berasa diri mulia, orang lain hina. Rasulullah s.a.w. memberi definasi yang tepat dan padat tentang takabbur menerusi sabdanya yang bermaksud:."...sombong itu adalah menolak kebenaran dan menghina makhluk." (Riwayat Muslim no.275)
Para Ulama menjelaskan ada tiga (3) ciri utama individu yang takabbur. Ciri-ciri itu adalah:
> Merasa diri lebih baik.

> Menghina orang lain
Ketiga-tiga sifat itu menyerang manusia dalam bentuk pakej. Ketiga-tiganya datang serentak. Ia saling berkait antara satu sama lain. Apabila merasakan diri lebih baik, mulia dan tinggi, seseorang itu cenderung memandang orang lain buruk, hina dan rendah. Apabila dua sifat itu mendominasi seseorang maka dia akan jadi terlalu obses terhadap dirinya sendiri. Ketika itu dia akan menolak apa sahaja pandangan, saranan dan teguran daripada orang lain walaupun benar.
Hendaknya kita dapat membezakan antara takabbur yang terkeji dengan harga diri yang terpuji. Orang yang mempunyai harga diri (izzah dan maruah) memandang dirinya tinggi kerana Islam, bukan atas sebab-sebab kehebatan diri sendiri. Individu yang mempunyai harga diri yang tinggi merasakan dirinya berkemampuan, berkeyakinan dan berhak untuk berjaya dalam hidup hasil keyakinannya kepada Allah.
Orang yang mempunyai harga diri yang tinggi sangat menghargai orang lain. Mereka melihat dunia sebagai medan 'perkongsian' untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan. Para rasul, nabi, sidiqqin, syuhada dan orang soleh adalah mereka yang mempunyai harga diri yang tinggi.Mereka sentiasa mendapat inspirasi daripada ayat al-Quran ini: "Jangan kamu berasa hina dan jangan kamu berasa gentar. Kamulah orang yang tinggi jika kamu beriman." (Surah Ali 'Imran 3:139)
Dan hasil pertembungan antara harga diri dan takabbur inilah yang berlaku sepanjang sejarah perjuangan mendaulatkan Islam. Yang berjuang menegakkan Islam mempunyai keyakinan diri yang tinggi kerana keimanannya, manakala yang menentangnya juga disebabkan keyakinan kerana ketakabburannya. Terdapat garis pemisah yang sangat besar antara kedua-dua sifat itu walaupun impaknya kepada diri seolah-olah hampir sama.
Orang yang takabbur sukar menerima kebenaran. Hatinya menjadi terlalu keras untuk terus mempertahankan keegoannya walaupun kebenaran sudah diakui oleh hati kecilnya (fitrah). Namun hati besarnya (takabbur) akan terus menolak kerana bimbang kedudukan atau status sosial akan tergugat sama ada oleh kebenaran itu sendiri atau oleh pembawanya.
Inilah yang berlaku kepada Abu Lahab, Abu Jahal dan lain-lain pemuka Quraisy yang merasakan jika mereka menerima Islam dan kerasulan Muhammad s.a.w. mereka akan hilang 'kerusi' kepimpinan di Makkah. Rasulullah s.a.w. mengingatkan menerusi sabda Baginda yang bermaksud: "Terimalah kebenaran itu walaupun datangnya daripada hamba yang berkulit hitam dan berambut kerinting".

"Sesiapa yang bertawaduk kerana Allah, maka Allah akan mengangkat darjatnya. Ia sangat hina dimata sendiri, namun sangat mulia dimata orang lain. Dan sesiapa yang menyombongkan dirinya, maka Allah akan merendahkannya. Sehingga ia menjadi sangat besar dimatanya sendiri, namun sangat hina di mata orang lain. Bahkan ianya lebih hina di sisi mereka daripada seekor khinzir atau anjing."
No comments:
Post a Comment